SILAT GAYUNG
ALLAHYARHAM DATO’ MEOR ABDUL
RAHMAN BIN UDA MOHD HASHIM
(PENGASAS SENI SILAT GAYONG)
|
NUR AINUS SYAFIQAH BINTI SAARI
1131002
ISI
KANDUNGAN
BIL
|
TAJUK
|
MUKA SURAT
|
1
|
ISI KANDUNGAN
|
2
|
2
|
PENGHARGAAN
|
3
|
3
|
PENDAHULUAN
|
4
|
4
|
OBJEKTIF KAJIAN
|
5
|
5
|
MENGENAI DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN BIN UDA MOHD HASHIM
|
1. SALASILAH HIDUP BELIAU
|
7-19
|
2. ZAMAN KANAK-KANAK BELIAU
|
3. PENDIDIKAN SILAT BELIAU
|
4. DETIK-DETIK PENGKHATAMAN SILAT BELIAU
|
5. PANGLIMA SENDO PERAK @ RAHMAN SENDO
|
6. PENGHIJRAHAN KE SINGAPURA DAN PERISTIWA
DI PULAU SUDONG
|
7. PENGEMBANGAN SENI SILAT
|
8. MENYAHUT CABARAN BRUCE LEE
|
6
|
KESIMPULAN
|
20
|
7
|
RUJUKAN
|
21
|
8
|
LAMPIRAN
|
22-24
|
PENGHARGAAN
Bismillahi Rahmani Rahim
Dengan
nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, syukur kepada Allah, selawat
serta salam buat junjungan besar nabi Muhammad SAW, keluarga dan sekalian
sahabat beliau. Dengan izin Allah serta dengan limpah kurniaNya dapatlah saya
menyiapkan tugasan yang diberi ini dengan jayanya.
Terlebih
dahulu saya ingin menyampaikan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada
dua orang tuan guru saya iaitu
Tuan Guru Syahid dan Tuan Guru Muhammad Nizam Mohammad Syafie kerana telah memberi peluang kepada saya
untuk menyiapkan sebuah tugasan yang amat bermakna ini dalam tempoh masa yang
diberikan. Tugasan ini bukan sahaja dapat menambah pengetahuan saya mengenai
tokoh silat yang dipilih malah dapat meningkatkan jati diri saya dan tahu
betapa pentingnya silat kepada kita.
Tidak
lupa juga jutaan terima kasih saya hulurkan kepada sahabat-sahabat saya yang
sudi membantu menyumbang buah fikiran dan tunjuk ajar kepada saya dalam proses
menyiapkan tugasan ini. Selain itu, terima kasih juga saya ucapkan kepada kedua
ibu dan bapa saya yang banyak memberi dorongan dan sokongan kepada saya untuk
menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.
PENGENALAN
Seni
silat atau pencak silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa
Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau sehingga kini. Ada
yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan
dari generasi ke generasi. Ini termasuklah pengamal-pengamal seni mempertahankan
diri ini di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, dan Thailand.
Mereka yang belajar silat digelar pesilat.
Amalan sekarang, pengajar atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang
mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu. Kebanyakan
guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran ‘maha’
hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang
kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri.
Silat
tersebar sepanjang Nusantara Melayu sejak abad ke-7 M, tetapi asal-usulnya
masih lagi tidak pasti. Meskipun, silat telah diakui sebagai seni Melayu asli.
Apabila Islam disebarkan sepanjang nusantara abad ke-14, ia diajar di samping
dengan silat. Selain seni bertarung dan tarian budaya rakyat, silat kemudian
menjadi suatu latihan rohaniah
Silat telah diperhaluskan ke ciri
keistimewaan Sultan, panglima dan pendekar sewaktu empayar Kesultanan Melaka,
Majapahit dan Srivijaya. Ia adalah waktu apabila silat tersebar sepanjang
Semenanjung Melayu, Jawa, Bali, Sulawesi dan Borneo. Di Malaysia, kerajaan
Malaysia telah mengiktiraf bahawa silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi Malaysia
dan diwartakan dibawah Akta Warisan Negara semasa Konvensyen Silat yang
dianjurkan pada 3hb hingga 4hb Disember 2006.
Pada 23hb hingga 24hb September, 1979,
ketika Sukan Asia Tenggara ke-14, IPSI telah memperkenalkan Olahraga Pencak
Silat. Peraturan pertandingan ini telah disusun pada tahun 1973. Silat sekarang
adalah secara rasmi termasuk sebagai sebahagian daripada Sukan Asia Tenggara. Silat
gayong adalah salah satu seni silat yang begitu terkenal yang telah diasaskan
oleh seorang pendekar yang begitu ampuh iaitu Allahyarham Dato’ Meor Abdul
Rahman bin Uda Mohd Hashim.
OBJEKTIF KAJIAN
1. Untuk mengkaji dengan lebih terperinci
mengenai tokoh silat yang dipilih iaitu
Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim.
2. Untuk mengetahui pengalaman dan sejarah
tokoh silat yang dipilih.
3. Untuk mengenali dengan lebih mendalam
asal-usul silat yang diperkenalkan oleh tokoh silat yang dipilih.
ALLAHYARHAM DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN BIN
UDA MOHD HASHIM
|
SALASILAH HIDUP BELIAU
Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim yang telah dilahirkan
pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden, Taiping, Perak merupakan pengasas dan
pencipta Seni Silat Gayong Malaysia. Beliau berketurunan(Bugis). Darah yang
mengalir di dalam batang tubuh Dato' Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang
diwarisi dari Daing Kuning, seorang pendekar terbilang. Daing Kuning atau lebih
dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh
beradik berasal dari Makasar yang mendarat di Tanah Melayu bagi mencari tapak
penghidupan baru. Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima
Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik anak raja Bugis berasal dari
Makasar, Sulawesi, yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh
Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau Melayu yang berhampiran, kerana
kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu.
Ketujuh-tujuh beradik ini ialah Daing Jalak, Daing Celak, Daing Merawak, Daing
Mempawah, Daing Telani, Daing Pelangi dan Daing Kuning.
Dalam tahun 1813, anak-anak Raja Bugis ini telah mendarat di Kuala
Larut. Tempat persinggahan mereka dikenali sebagai Pangkalan Alur atau Relur
Tujuh(kini dikenali sebagai Ayer Kuning). Hanya Daing Kuning yang terus menetap
di Relur Tujuh dan bertapa di situ(gua tempat pertapaan Daing Kuning masih lagi
wujud dan terletak di Bukit Larut). Saudara-saudara Daing Kuning yang lain
telah meneruskan pelayaran dan berpecah ke seluruh Tanah Melayu, mengikut
firasat masing-masing. Daing Kuning terkenal dengan kemahirannya bermain
senjata sundang lipas. Kedatangan orang-orang Bugis ke Tanah Melayu ini telah
memperkuatkan struktur kesultanan Melayu. Melalui bantuan kuasa Bugis, ketuanan
raja-raja Melayu telah dapat dinobatkan kembali.
Hasil perkongsian hidup Daing Kuning dengan seorang puteri Raja
Patani, beliau telah dikurniakan seorang putera dan kemudiannya dikenali dengan
nama Penghulu Che' Ngah Tambah .Daing Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di
Taiping, Perak. Penghulu Che' Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak
lelaki yang diberi nama Uda Mohd. Hashim. Bondanya bernama Syarifah Aluyah
binti Syed Zainal al–Attas.
Hasil perkongsian hidup Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah
dengan Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al-Attas, mereka dikurniakan 3 orang
cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Saadiah. Meor
Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan
bondanya yang terdahulu iaitu Alin, Putih dan Hendon.
ZAMAN KANAK-KANAK BELIAU
Sewaktu bonda beliau melahirkannya,
terdapat sesuatu yang seakan-akan cacing tetapi panjang keluar mengiringi
kelahirannya. Ayahanda beliau mengambil cacing tadi lalu menyimpannya di dalam
tempurung kelapa. Kelahiran Meor Abdul Rahman disambut dengan hujan yang turun
dengan lebatnya. Pada malam selepas kelahirannya, bonda beliau telah bermimpi
dan diberitahu oleh suara ghaib supaya melepaskan cacing yang kelihatan seperti
ular tersebut ke laut melalui Teluk Kertang di Matang. Seminggu kemudian bonda
beliau bermimpi lagi, kali ini suara ghaib itu menasihati bonda Meor Abdul
Rahman agar jangan risaukan tentang perihal cacing tersebut. Cacing itu adalah
kembar anakanda Meor Abdul Rahman. Ia sebenarnya adalah naga "di lautan
sana bercula tujuh, di lautan sini bercula se(satu)". Mengikut kata
bondanya juga, itu adalah tanda yang Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang
pendekar besar pada suatu masa kelak.
Semasa kecilnya, Meor Abdul Rahman memang seorang anak yang nakal
dan tahan lasak. Kenakalan beliau ini menyebabkan beliau sering menjadi mangsa
rotan ayahandanya. Ayahandanya memang seorang yang garang dan bengis. Kerana
kenakalannya inilah menyebabkan beliau lebih menonjol daripada adik-beradiknya
yang lain. Beliau juga lebih rapat dengan bondanya kerana bondanyalah yang
sering mempertahankan tindakan Meor Abdul Rahman apabila ayahandanya ingin
menghukum kenakalannya. Pernah suatu ketika, Meor Abdul Rahman telah melarikan
diri kerana dikejar oleh ayahandanya Daing Uda Mohd.Hashim. Meor Abdul Rahman
telah menyorok di dalam tong dram berisi air dan berpenutup. Setelah puas
mencari Meor Abdul Rahman di serata kawasan rumahnya, Uda Mohd.Hashim lalu
dimarahi oleh Sharifah Aluyah kerana bertindak terlalu garang terhadap Meor
Abdul Rahman sehingga menyebabkan Meor Abdul Rahman "hilang" dari
rumah.
Kenakalan Meor Abdul Rahman diperhatikan setiap masa oleh datuknya
Engku Syed Zainal Al-Attas. Meor Abdul Rahman bersekolah di Sekolah Melayu
Taiping dan di English School Kamunting di Taiping, sehingga ke peringkat
Junior Malay Class. Di sekolah menengah, Meor Abdul Rahman aktif dalam
persatuan berpakaian seragam, iaitu pengakap. Beliau sering mengikuti jambori
pengakap yang diadakan di negeri Perak. Selepas tamat Junior Malay Class, Meor
Abdul Rahman kemudian menyambung persekolahannya di Government Trade School di
Ipoh. Syed Zainal dapat melihat secara firasat bahawa suatu masa nanti Meor
Abdul Rahman akan mewarisi ilmu kependekaran yang ada padanya.
Walaupun beliau dilahirkan di tengah-tengah keluarga berdarah
pendekar, ini tidak bermakna beliau sudah mempunyai kekuatan luar biasa serta
ilmu persilatan yang tinggi. Disebabkan "darah pendekar" yang
diwarisinya itu beliau kerap menjadi mangsa buli rakan-rakannya di sekolah,
yang sengaja mahu menguji tahap keilmuannya dalam dunia persilatan. Setiap hari
beliau akan dibuli, diherdik, diugut dan kadangkala dibelasah kerana
kawan-kawannya yang menyangka beliau kebal seperti datuknya yang terkenal
sebagai pendekar terbilang.
Beliau pernah dibelasah oleh 7-8 orang rakan-rakannya. Walaupun
beliau belum mempelajari silat lagi pada ketika itu, beliau sering menang dalam
setiap pergaduhan yang dicetuskan oleh rakan-rakannya tersebut. Walaupun
demikian, disebabkan beliau sering sahaja dibuli, Meor Abdul Rahman seolah-olah
patah semangat untuk meneruskan persekolahannya akibat perilaku rakan-rakannya
itu. Beliau mengadu kepada bondanya, Sharifah Aluyah mengenai sikap
rakan-rakannya itu serta niatnya untuk berhenti sekolah sekiranya hasratnya
untuk mempelajari silat tidak ditunaikan. Walaupun datuknya, Syed Zainal itu
seorang pendekar terbilang, malah saban hari ramai yang datang berguru, namun
Meor Abdul Rahman tidak pernah diberi peluang untuk belajar bersama-sama dengan pelajar-pelajar yang lain.
Beliau terpaksa menyorok di bawah rumah mengintai datuknya bercerita tentang
silat kepada anak-anak muridnya.Akhirnya, ibunya bersetuju untuk menyampaikan
permintaan Meor Abdul Rahman kepada datuknya.
PENDIDIKAN SILAT ALLAHYARHAM DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN BIN UDA MOHD.
HASHIM
Allahyarham
Dato’ Meor Abdul Rahman mula menuntut ilmu persilatan ketika berusia lebih
kurang 12 tahun. Beliau mempelajari ilmu persilatan tersebut daripada datuknya
sendiri (datuk sebelah ibu) iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris al-Attas yang
merupakan seorang penghulu di Pekan, Pahang. Beliau juga sangat terkenal ketika
itu kerana memiliki ramai pahlawan. Selain itu, Tuan Syed Zainal bin Syed Idris
al-Attas juga hidup sezaman dengan Dato’ Bahaman, Mat Kilau, dan Tok Gajah
serta mereka bersama-sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di Pahang.
Sejak kecil, Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sering mendengar
kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari datuknya. Segala ilmu dan petua Silat Seni Gayong
diperturunkan satu persatu oleh Syed Zainal Al-Attas kepada beliau. Hari
berganti minggu, bulan berganti tahun. Silat Seni Gayong semakin sebati dalam
diri Meor Abdul Rahman. Segala sepak terajang orang bersilat ditempuhi dengan
hati yang tabah. Meor Abdul Rahman belajar Silat Seni Gayong bersama-sama 40
orang rakannya di Kampung Pokok Assam, Taiping. Keluarga beliau berpindah ke
Kampung Pokok Assam ketika usia beliau kira-kira sepuluh tahun. Menurut
Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, kekandanya Meor Abdul Aziz tidak ikut sama
mempelajari silat kerana beliau lebih gemarkan aktiviti bermotosikal -beliau
memiliki tiga buah motosikal.
Setelah tiga tahun berguru dengan Syed
Zainal,kesemua rakan-rakannya kecuali beliau seorang telah dikhatamkan oleh
Syed Zainal. Meor Abdul Rahman begitu kecewa dengan sikap datuknya yang tidak
mengkhatamkan dirinya seperti rakan-rakannya yang lain. Beliau telah menjadi
mangsa ejekan rakan-rakannya, sehingga digelar "buah yang tidak
masak". Beliau tidak tahu sampai bilakah datuknya akan
"menggantungnya secara tidak bertali". Beliau lantas mengadu kepada
bondanya. Kerana rasa kasih terhadap anakandanya tersebut, Sharifah Aluyah lalu
bersemuka dengan ayahandanya Syed Zainal dan bertanyakan ayahandanya itu
mengapa Meor Abdul Rahman tidak dikhatamkan sebagaimana rakan-rakannya yang
lain. Sharifah Aluyah sanggup menawarkan seekor kambing untuk disembelih
sebagai syarat untuk Meor Abdul Rahman dikhatamkan. Walau bagaimanapun,
permintaan Sharifah Aluyah tidak dapat dipenuhi oleh Syed Zainal. Menurut Syed
Zainal, beliau tidak boleh mengkhatamkan cucunya tersebut kerana masanya belum
tiba lagi. Apabila masanya tiba kelak, Meor Abdul Rahman pasti akan dikhatamkan
walaupun bukan oleh beliau,.datuknya. Menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor
Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh orang ghaib di suatu tempat yang terletak di
sempadan Siam - Tanah Melayu. Syed Zainal menyuruh Sharifah Aluyah menasihatkan
Meor Abdul Rahman supaya menunggu sahaja ketibaan masa pengkhataman tersebut.
Penjelasan bondanya tersebut
sedikit-sebanyak telah melegakan hati Meor Abdul Rahman, namun masa yang disebutkan oleh datuknya sering
dinanti-nantikannya. Ketika usianya sembilan belas tahun, beliau sudah pun
mahir dalam segala aspek ilmu persilatan dan adat istiadat Silat Seni Gayong
ini. Sebagai seorang anak muda yang sedang meningkat remaja, Meor Abdul Rahman
sering sahaja terlibat dalam peristiwa beradu tenaga dan sentiasa pula dapat
menewaskan lawannya tersebut.
SAAT-SAAT PENGKHATAMAN
Pada tahun 1933, Meor Abdul Rahman telah
pergi ke Kuala Nerang menziarahi kekandanya Hendon dan kekanda iparnya, Zainal
Abidin yang ketika itu menjadi Ketua Polis/OCPD Daerah Kuala Nerang. Meor Abdul
Rahman tidak ada teman untuk berbicara atau bergurau senda kecuali kebosanan
yang kian menghimpit jiwanya. Pelbagai cara untuk lari dari kebosanan itu
sering bermain-main di kotak fikirannya. Namun segalanya gagal untuk menutup
kebosanan yang semakin memuncak itu. Banyak masa yang telah terbuang.
Walaupun demikian, sikap Meor Abdul Rahman
yang peramah dan petah berbicara menyebabkan beliau mudah mendapat kenalan.
Beliau merasakan pekan Rabu yang diadakan sekali seminggu di pekan Kuala Nerang
merupakan detik paling menyeronokkan. Di pekan Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman
telah berkenalan dengan seorang perempuan tua berpakaian lusuh, yang menjual
burung serindit. Apabila mengetahui perempuan tua tersebut berasal dari Menam,
yang terletak dekat sempadan Siam, Meor Abdul Rahman mula mencari jalan
bagaimana beliau boleh mengikut perempuan tua tersebut balik ke Menam. Secara
senyap-senyap, tanpa pengetahuan kekandanya Hendon dan abang iparnya, Zainal
Abidin, Meor Abdul Rahman dengan berbekalkan raifal dan sepucuk pistol milik
abang iparnya, dan ditemani oleh Mata-mata Bakar bin Osman telah mengikuti
perempuan tua yang dikenali dengan nama Tok Mek Jah itu pulang ke Menam. Jarak
perjalanan antara Menam dengan pekan Kuala Nerang adalah sangat jauh. Tidak ada
sebarang pengangkutan kecuali berjalan kaki selama beberapa hari.
Setelah beberapa lama berjalan beliau tiba
di Kuak. Selama dua hari Meor Abdul Rahman berada di Kuak. Beliau telah bertemu
dengan Tok Choh di Kuak. Semakin membakar semangatnya untuk meneruskan
perjalanan ke Menam. Empat hari empat malam berjalan kaki barulah sampai ke
Menam. Untuk selama empat hari di Menam, Meor Abdul Rahman telah menjadi anak
angkat kepada keluarga Tok Choh dan menginap di rumah Tok Mek Jah. Dinding
rumah penduduk Menam termasuk dinding rumah Tok Mek Jah diperbuat daripada
kulit-kulit binatang. Sewaktu di Menam, Meor Abdul Rahman bersama-sama dengan
Bakar sering menghabiskan masa mereka dengan keluar memikat burung serindit
kerana harganya ketika itu sangat mahal (seekor burung serindit boleh mencapai
harga di antara $3-$5 seekor).
Setelah empat hari di Menam, Meor Abdul
Rahman meminta diri untuk pulang ke Kuala Nerang untuk menemui abang iparnya
Zainal Abidin. Kemudian beliau kembali ke Taiping menemui keluarganya. Beliau
menceritakan pengalamannya itu kepada kekandanya Meor Abdul Aziz. Meor Abdul Aziz
juga tertarik untuk ke sana. Meor Abdul Rahman sekali lagi pergi ke Menam
bersama kekandanya Meor Abdul Aziz. Di sana, mereka menghabiskan banyak masa
dengan memburu binatang.
Suatu hari, ketika keluar berburu
bersama-sama beberapa orang rakannya, telah ditakdirkan Meor Abdul Rahman
terpisah dari rakan-rakannya akibat hujan ribut yang melanda. Beliau telah
tersesat. Setelah beberapa lama merayau-rayau dalam hutan tersebut tanpa arah
yang dituju akhirnya beliau terlelap di atas suatu batu hampar berwarna hitam
selebar kira-kira satu rantai.
Dalam keadaan antara tidur dan jaga,
tiba-tiba muncul bayang-bayang lembaga seorang manusia yang berpakaian persis
seorang hulubalang Melayu zaman dahulu, dengan dipinggangnya tersisip sebilah
keris. Dalam keadaan diri antara sedar dan tidak, Meor Abdul Rahman pun diajar
dengan berbagai ilmu kependekaran zahir dan batin. Hang Tuah telah mencurahkan
segala rahsia ilmu Silat Seni Gayong dan ilmu mempertahankan diri kepada
beliau. Selepas beliau melalui pelbagai ujian dan cubaan, beliau telah dibawa
ke sebatang anak sungai yang berdekatan dan dimandikan dengan tujuan
pengkhatamkannya. Di sanalah Meor Abdul Rahman diamanahkan supaya ilmu yang
telah dipelajarinya (Seni Gayong), diperkembangkan dengan seluas-luasnya di
dalam negera ini dengan mengikut adat-istiadatnya yang tertentu. Pada saat-saat
itu juga, lembaga itu memperkenalkan dirinya dengan mengatakan bahawa beliau
ialah Datuk Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah akhirnya meminta Meor Abdul Rahman
mengangakan mulut lalu, diludahkannya ke dalam mulut Meor Abdul Rahman, sebagai
tanda sempurnalah sudah pengkhataman beliau.
Tanpa membocorkan rahsia pertemuannya
dengan Hang Tuah di batu hitam itu, akhirnya Meor Abdul Rahman bergegas pulang
ke Taiping. Sebelum itu beliau singgah sebentar di rumah kekandanya di Kuala
Nerang. Beliau tetap merahsiakan apa yang telah dialaminya daripada pengetahuan
kedua-dua ibu bapanya. Sebagai mematuhi amanat di dalam mimpinya, beliau telah
meminta izin daripada bondanya Sharifah Aluyah untuk menghadap DYMM Paduka Seri
Sultan Perak ketika itu iaitu Almarhum Sultan Alang Iskandar. Sharifah Aluyah
menurut ceritanya pernah dipinang oleh Sultan Alang Iskandar suatu ketika
dahulu.
PANGLIMA SENDO PERAK @ RAHMAN SENDO
Untuk menghadap sultan bukannya tugas yang mudah. Beberapa kali
Meor Abdul Rahman dihalang oleh Datuk Seri Nara Diraja. Setelah puas didesak
akhirnya Datuk Seri Nara Diraja membenarkan Meor Abdul Rahman bertemu dengan Sultan.
Di hadapan Sultan, beliau telah menunjukkan kegagahan beliau dengan mengangkat
seorang yang berbadan besar(Puteh Lawak) dengan menggunakan sebelah tangan
sahaja. Puteh Lawak telah dijulang dan diputar-putarkan sebelum dicampak.
Selepas peristiwa itu, baginda Sultan telah
memerintahkan Meor Abdul Rahman agar menghadap baginda sekali lagi iaitu
bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sana Meor Abdul Rahman
telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan paku sepanjang enam inci,
membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali dengan 50 orang lelaki(25
di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling perak dengan menggunakan
jari, badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik Sultan dan beliau juga
berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah. Semua ujian tersebut dijalankan
pada waktu malam. Sultan Alang Iskandar masih lagi belum berpuas hati. Pada
keesokan harinya baginda telah memerintahkan Meor Abdul Rahman mengangkat
selaras meriam penabur yang terbesar di istana. Atas kejayaannya itu, baginda
Sultan telah menggelarnya "Panglima Sendo Perak" atau "Orang
Kuat Perak". Dengan kehendak almarhum Sultan, Allahyarham Dato’ Meor Abdul
Rahman telah diambil sebagai anak angkat oleh baginda sehinggalah baginda
mangkat pada tahun 1938.
BERHIJRAH KE SINGAPURA DAN
PERISTIWA DI PULAU SUDONG
Pada tahun 1938, Meor Abdul Rahman telah
berhijrah ke Singapura dan bekerja di Royal Signal Corp, Gillman Barrack
sebagai mekanik. Di sini beliau turut mengajar seni tempur tangan kosong kepada
tentera British.
Apabila tentera Jepun menyerang Singapura
pada tahun 1941, Meor Abdul Rahman bersama-sama dengan keluarganya telah
menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, sebuah pulau di selatan Singapura. Meor Abdul Rahman terpaksa pula berlawan
dengan pendekar Pulau Sudong bagi memenuhi tuntutan syarat jika ingin menumpang
di pulau tersebut. Sebelum pertarungan bermula, beliau terlebih dahulu meminta
pandangan ahli keluarga beliau. Nampaknya beliau sudah tidak ada pilihan lain
melainkan terpaksa menghadapi Wak Kusang. Pertarungan antara Wak Kusang dengan
Meor Abdul Rahman berlangsung di kawasan tanah perkuburan, kerana penduduk
pulau membina rumah bertiang tinggi di tepi pantai, manakala bahagian tengah
pulau dikhaskan sebagai tanah perkuburan. Pertarungan tersebut berlangsung
dalam suasana yang sangat tegang dan hebat. Dengan berkat ilmu Silat Seni
Gayongnya, maka pertarungan itu berakhir dengan kemenangan yang menyebelahi
Meor Abdul Rahman. Kemenangan Meor Abdul Rahman telah disambut dengan perasaan
gembira oleh ahli keluarga beliau. Penduduk pulau pula telah bersorak gembira
seolah-olah menyaksikan suatu perlawanan sabung haiwan. Setelah melalui
pelbagai dugaan, barulah beliau dan keluarganya dibenarkan menumpang di pulau
tersebut.Di Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong mula dikembangkan, iaitu pada
17 Februari,1942. Di Pulau Sudong ini beliau telah menunjukkan kebolehannya
memperdaya tentera Jepun dan seterusnya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong
daripada kekejaman tentera Jepun. Silat Seni Gayong kemudiannya diajar kepada
semua penduduk Pulau Sudong.Tidak lama kemudian, beliau bersama-sama
keluarganya telah pulang ke Taiping, Perak.
Pada tahun 1943, beliau telah ditangkap
oleh tentera Jepun kerana menentang tentera Jepun yang cuba mengganggu isterinya.
Beliau telah dipenjarakan di penjara Taiping dan setelah dibicarakan, beliau
telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau
telah menunjukkan kependekarannya dengan menumpaskan tentera-tentera Jepun yang
mengawalnya. Akibat daripada peristiwa ini, beliau telah dibebaskan. Tidak lama
kemudian beliau telah dipaksa menyertai pasukan tentera Jepun. Seperti askar
Jepun yang lain, kepala beliau telah dibotakkan dan diberikan seragam polis
Jepun. Semasa bertugas sebagai polis Jepun, beliau pernah ditugaskan di Ipoh,
Perak dan Meor Abdul Rahman pernah beberapa kali menewaskan beberapa orang
ketua PKM yang terkenal handal dan kebal.
Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun
1945, beliau sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong dan telah ditawarkan
menjawat jawatan penghulu di situ. Setelah beliau menetap di Pulau Sudong,
Silat Seni Gayong telah tersebar ke pulau-pulau sekitar termasuklah pulau-pulau
di dalam wilayah Indonesia.
PENGEMBANGAN SENI SILAT GAYONG
Dalam tahun 1947, kerajaan British telah
menawarkan Meor Abdul Rahman jawatan sebagai pegawai dalam Jabatan Keselamatan
Dalam Negeri Singapura. Ketua Polis Singapura telah mendapat tahu rahsia
kehebatan Mahaguru Meor Abdul Rahman sewaktu beliau berkhidmat sebagai Guru
Kombat di Gillman Barrack. Setelah empat bulan, beliau memohon dipindahkan ke
Jabatan Siasatan Jenayah(CID). Permohonan beliau diluluskan dan beliau telah
ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan dan ditugaskan menyiasat sebarang
penipuan dalam timbangan. Tidak lama kemudian beliau ditugaskan pula di
bahagian kepolisan yakni di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang
pegawai berpangkat Sarjan.
Pada tahun 1947 juga, atas jasa-jasa beliau
menentang keganasan tentera Jepun, beliau telah dikurniakan pingat keberanian
King George VI oleh kerajaan Inggeris. Di sekitar tahun ini juga beliau giat
mengembangkan ilmu Silat Seni Gayong di tanah besar Singapura. Menjelang tahun
1948, jumlah anak murid Gayong sudah mencapai 100,000 orang, dengan 50,000 daripadanya
adalah dari kepulauan Indonesia.
Pada tahun 1959,
Allahyarham Dato'Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato' Onn Jaafar,
pengasas UMNO dan penentang Malayan Union. Dato' Onn telah mengusulkan Silat
Seni Gayong didaftarkan supaya menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi
undang-undang. Akhirnya, dengan jasa-jasa Dato' Onn, Silat Seni Gayong telah
diluluskan pendaftarannya pada 22 Oktober 1963 dengan nombor pendaftaran
361(Johor Bahru). Ia adalah pertubuhan silat yang pertama didaftarkan di Malaysia.
Dato' Onn telah dilantik sebagai penasihat dan setiausaha agung yang pertama.
Pendita Za'ba pula telah diminta melukis lambang Gayong dan mereka bentuk sijil
Gayong.Kegigihan dan pengorbanan Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dalam
usaha mengembangkan Silat Seni Gayong telah dirakamkan dengan pengurniaan
pingat Dato' Paduka Cura Simanja Kini (DPCM) oleh Sultan Idris Shah, Sultan
Perak pada tahun 1971.
MENYAHUT CABARAN BRUCE LEE
Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul
Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England.
Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang
saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki
telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu
penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan
seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat
Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.
Setelah memperkenalkan
dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor
Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana
hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu.
Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam
pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, tetapi jika Bruce
Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah
yang terbaik di dunia. Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah
sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972,
serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk
mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee.
Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di
Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul
Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah
menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut.
Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan
murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.
Memandangkan Bruce Lee masih muda dan
mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja
niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh
kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut
juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada
menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh
beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut.
Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun
dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan
berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan
bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat
mengenai rusuk Bruce Lee. Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata
berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan.
Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan
bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke
kawasan sakit tersebut. Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato'
Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui
kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. Tidak lama
selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini,
Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit
misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir
Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni
Silat Melayu. Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai
satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto
telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do
nya.)
Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman telah
kembali ke Rahmatullah pada pagi 23 Jun 1991, bertempat di Pusat Perubatan
Pakar, Ipoh kerana sakit tua. Jenazah beliau telah dikebumikan di tanah
perkuburan di perkarangan Masjid Lama, Taiping.
KESIMPULAN
Silat telah
dicipta dan diamalkan oleh orang Melayu sejak sebelum kehadiran pengaruh luar
di Tanah Melayu. Seni silat gayong juga merupakan salah satu seni mempertahankan
diri yang hebat yang telah diasaskan oleh pendekar yang agung dan terkemuka
iaitu Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim. Beliau telah
memperkenalkan ilmu persilatan ini ke serata dunia yang pada mulanya hanya
dikenali di beberapa tempat sahaja. Pengaruhnya begitu besar hingga dapat
menarik minat orang ramai untuk mempelajari silat ini.
Silat bukan
sahaja dapat melindungi diri malah ia dapat membentuk nilai kemanusiaan yang
tinggi dalam diri insan yang mempelajari silat apabila silat mengajar setiap
pengamalnya untuk mempertahankan diri tanpa mencederakan lawan, kecuali
terdesak. Selain itu, silat juga dapat melahirkan insan yang cergas dan cerdas
serta insan yang berdisiplin tinggi. Kesemua nilai-nilai ini dapat dilihat dari
dalam diri tokoh pengasas silat gayong yang terkemuka ini. Beliau telah
bertungkus-lumus meningkatkan martabat silat ke pelusuk dunia. Usaha yang telah
dicurahkan beliau amat bermakna sehingga kini apabila silat berjaya merentas
persempadanan budaya, kepercayaan, bahasa dan masyarakat di beberapa buah
negara dunia sehingga terlahirnya golongan yang sangat berminat mempelajari
silat, mengamalkannya serta mengembangkannya.
Oleh itu, kita
sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana seni silat ini berjaya
dikekalkan sejak turun-temurun sehingga sekarang.
RUJUKAN
1. LAMAN WEB
2. BUKU
- SILAT SENI GAYUNG PATANI 2008
- Anuar Abd. Wahab AMN
P