Friday, 25 October 2013

ALLAHYARHAM DATO’ MEOR




SILAT GAYUNG
ALLAHYARHAM DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN BIN UDA MOHD HASHIM
(PENGASAS SENI SILAT GAYONG)


NUR AINUS SYAFIQAH BINTI SAARI 

1131002

ISI KANDUNGAN
BIL
TAJUK
MUKA SURAT
1
ISI KANDUNGAN
2
2
PENGHARGAAN
3
3
PENDAHULUAN
4
4
OBJEKTIF KAJIAN
5


5




MENGENAI DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN BIN UDA MOHD HASHIM
1.      SALASILAH HIDUP BELIAU




7-19
2.      ZAMAN KANAK-KANAK BELIAU
3.      PENDIDIKAN SILAT BELIAU
4.      DETIK-DETIK PENGKHATAMAN SILAT BELIAU
5.      PANGLIMA SENDO PERAK @ RAHMAN SENDO
6.      PENGHIJRAHAN KE SINGAPURA DAN PERISTIWA DI PULAU SUDONG
7.      PENGEMBANGAN SENI SILAT
8.      MENYAHUT CABARAN BRUCE LEE
6
KESIMPULAN
20
7
RUJUKAN
21
8
LAMPIRAN
22-24

PENGHARGAAN
Bismillahi Rahmani Rahim
            Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, syukur kepada Allah, selawat serta salam buat junjungan besar nabi Muhammad SAW, keluarga dan sekalian sahabat beliau. Dengan izin Allah serta dengan limpah kurniaNya dapatlah saya menyiapkan tugasan yang diberi ini dengan jayanya.
            Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada dua orang tuan guru saya iaitu Tuan Guru Syahid dan Tuan Guru Muhammad Nizam Mohammad Syafie kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menyiapkan sebuah tugasan yang amat bermakna ini dalam tempoh masa yang diberikan. Tugasan ini bukan sahaja dapat menambah pengetahuan saya mengenai tokoh silat yang dipilih malah dapat meningkatkan jati diri saya dan tahu betapa pentingnya silat kepada kita.
            Tidak lupa juga jutaan terima kasih saya hulurkan kepada sahabat-sahabat saya yang sudi membantu menyumbang buah fikiran dan tunjuk ajar kepada saya dalam proses menyiapkan tugasan ini. Selain itu, terima kasih juga saya ucapkan kepada kedua ibu dan bapa saya yang banyak memberi dorongan dan sokongan kepada saya untuk menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.

PENGENALAN
            Seni silat atau pencak silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau sehingga kini. Ada yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Ini termasuklah pengamal-pengamal seni mempertahankan diri ini di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, dan Thailand.
Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Amalan sekarang, pengajar atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu. Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran ‘maha’ hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri.
            Silat tersebar sepanjang Nusantara Melayu sejak abad ke-7 M, tetapi asal-usulnya masih lagi tidak pasti. Meskipun, silat telah diakui sebagai seni Melayu asli. Apabila Islam disebarkan sepanjang nusantara abad ke-14, ia diajar di samping dengan silat. Selain seni bertarung dan tarian budaya rakyat, silat kemudian menjadi suatu latihan rohaniah
Silat telah diperhaluskan ke ciri keistimewaan Sultan, panglima dan pendekar sewaktu empayar Kesultanan Melaka, Majapahit dan Srivijaya. Ia adalah waktu apabila silat tersebar sepanjang Semenanjung Melayu, Jawa, Bali, Sulawesi dan Borneo. Di Malaysia, kerajaan Malaysia telah mengiktiraf bahawa silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi Malaysia dan diwartakan dibawah Akta Warisan Negara semasa Konvensyen Silat yang dianjurkan pada 3hb hingga 4hb Disember 2006.
Pada 23hb hingga 24hb September, 1979, ketika Sukan Asia Tenggara ke-14, IPSI telah memperkenalkan Olahraga Pencak Silat. Peraturan pertandingan ini telah disusun pada tahun 1973. Silat sekarang adalah secara rasmi termasuk sebagai sebahagian daripada Sukan Asia Tenggara. Silat gayong adalah salah satu seni silat yang begitu terkenal yang telah diasaskan oleh seorang pendekar yang begitu ampuh iaitu Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim.


OBJEKTIF KAJIAN
1.      Untuk mengkaji dengan lebih terperinci mengenai tokoh silat yang dipilih iaitu  Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim.  
2.      Untuk mengetahui pengalaman dan sejarah tokoh silat yang dipilih.
3.      Untuk mengenali dengan lebih mendalam asal-usul silat yang diperkenalkan oleh tokoh silat yang dipilih.





 TOKOH SILAT YANG DIPILIH



ALLAHYARHAM DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN BIN
 UDA MOHD HASHIM

SALASILAH HIDUP BELIAU

Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim yang telah dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden, Taiping, Perak merupakan pengasas dan pencipta Seni Silat Gayong Malaysia. Beliau berketurunan(Bugis). Darah yang mengalir di dalam batang tubuh Dato' Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi dari Daing Kuning, seorang pendekar terbilang. Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik berasal dari Makasar yang mendarat di Tanah Melayu bagi mencari tapak penghidupan baru. Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik anak raja Bugis berasal dari Makasar, Sulawesi, yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau Melayu yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Ketujuh-tujuh beradik ini ialah Daing Jalak, Daing Celak, Daing Merawak, Daing Mempawah, Daing Telani, Daing Pelangi dan Daing Kuning.
Dalam tahun 1813, anak-anak Raja Bugis ini telah mendarat di Kuala Larut. Tempat persinggahan mereka dikenali sebagai Pangkalan Alur atau Relur Tujuh(kini dikenali sebagai Ayer Kuning). Hanya Daing Kuning yang terus menetap di Relur Tujuh dan bertapa di situ(gua tempat pertapaan Daing Kuning masih lagi wujud dan terletak di Bukit Larut). Saudara-saudara Daing Kuning yang lain telah meneruskan pelayaran dan berpecah ke seluruh Tanah Melayu, mengikut firasat masing-masing. Daing Kuning terkenal dengan kemahirannya bermain senjata sundang lipas. Kedatangan orang-orang Bugis ke Tanah Melayu ini telah memperkuatkan struktur kesultanan Melayu. Melalui bantuan kuasa Bugis, ketuanan raja-raja Melayu telah dapat dinobatkan kembali.
Hasil perkongsian hidup Daing Kuning dengan seorang puteri Raja Patani, beliau telah dikurniakan seorang putera dan kemudiannya dikenali dengan nama Penghulu Che' Ngah Tambah .Daing Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping, Perak. Penghulu Che' Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Uda Mohd. Hashim. Bondanya bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al–Attas.
Hasil perkongsian hidup Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah dengan Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al-Attas, mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Saadiah. Meor Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan bondanya yang terdahulu iaitu Alin, Putih dan Hendon.


ZAMAN KANAK-KANAK BELIAU
                Sewaktu bonda beliau melahirkannya, terdapat sesuatu yang seakan-akan cacing tetapi panjang keluar mengiringi kelahirannya. Ayahanda beliau mengambil cacing tadi lalu menyimpannya di dalam tempurung kelapa. Kelahiran Meor Abdul Rahman disambut dengan hujan yang turun dengan lebatnya. Pada malam selepas kelahirannya, bonda beliau telah bermimpi dan diberitahu oleh suara ghaib supaya melepaskan cacing yang kelihatan seperti ular tersebut ke laut melalui Teluk Kertang di Matang. Seminggu kemudian bonda beliau bermimpi lagi, kali ini suara ghaib itu menasihati bonda Meor Abdul Rahman agar jangan risaukan tentang perihal cacing tersebut. Cacing itu adalah kembar anakanda Meor Abdul Rahman. Ia sebenarnya adalah naga "di lautan sana bercula tujuh, di lautan sini bercula se(satu)". Mengikut kata bondanya juga, itu adalah tanda yang Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang pendekar besar pada suatu masa kelak.
Semasa kecilnya, Meor Abdul Rahman memang seorang anak yang nakal dan tahan lasak. Kenakalan beliau ini menyebabkan beliau sering menjadi mangsa rotan ayahandanya. Ayahandanya memang seorang yang garang dan bengis. Kerana kenakalannya inilah menyebabkan beliau lebih menonjol daripada adik-beradiknya yang lain. Beliau juga lebih rapat dengan bondanya kerana bondanyalah yang sering mempertahankan tindakan Meor Abdul Rahman apabila ayahandanya ingin menghukum kenakalannya. Pernah suatu ketika, Meor Abdul Rahman telah melarikan diri kerana dikejar oleh ayahandanya Daing Uda Mohd.Hashim. Meor Abdul Rahman telah menyorok di dalam tong dram berisi air dan berpenutup. Setelah puas mencari Meor Abdul Rahman di serata kawasan rumahnya, Uda Mohd.Hashim lalu dimarahi oleh Sharifah Aluyah kerana bertindak terlalu garang terhadap Meor Abdul Rahman sehingga menyebabkan Meor Abdul Rahman "hilang" dari rumah.
Kenakalan Meor Abdul Rahman diperhatikan setiap masa oleh datuknya Engku Syed Zainal Al-Attas. Meor Abdul Rahman bersekolah di Sekolah Melayu Taiping dan di English School Kamunting di Taiping, sehingga ke peringkat Junior Malay Class. Di sekolah menengah, Meor Abdul Rahman aktif dalam persatuan berpakaian seragam, iaitu pengakap. Beliau sering mengikuti jambori pengakap yang diadakan di negeri Perak. Selepas tamat Junior Malay Class, Meor Abdul Rahman kemudian menyambung persekolahannya di Government Trade School di Ipoh. Syed Zainal dapat melihat secara firasat bahawa suatu masa nanti Meor Abdul Rahman akan mewarisi ilmu kependekaran yang ada padanya.

Walaupun beliau dilahirkan di tengah-tengah keluarga berdarah pendekar, ini tidak bermakna beliau sudah mempunyai kekuatan luar biasa serta ilmu persilatan yang tinggi. Disebabkan "darah pendekar" yang diwarisinya itu beliau kerap menjadi mangsa buli rakan-rakannya di sekolah, yang sengaja mahu menguji tahap keilmuannya dalam dunia persilatan. Setiap hari beliau akan dibuli, diherdik, diugut dan kadangkala dibelasah kerana kawan-kawannya yang menyangka beliau kebal seperti datuknya yang terkenal sebagai pendekar terbilang.

Beliau pernah dibelasah oleh 7-8 orang rakan-rakannya. Walaupun beliau belum mempelajari silat lagi pada ketika itu, beliau sering menang dalam setiap pergaduhan yang dicetuskan oleh rakan-rakannya tersebut. Walaupun demikian, disebabkan beliau sering sahaja dibuli, Meor Abdul Rahman seolah-olah patah semangat untuk meneruskan persekolahannya akibat perilaku rakan-rakannya itu. Beliau mengadu kepada bondanya, Sharifah Aluyah mengenai sikap rakan-rakannya itu serta niatnya untuk berhenti sekolah sekiranya hasratnya untuk mempelajari silat tidak ditunaikan. Walaupun datuknya, Syed Zainal itu seorang pendekar terbilang, malah saban hari ramai yang datang berguru, namun Meor Abdul Rahman tidak pernah diberi peluang untuk belajar  bersama-sama dengan pelajar-pelajar yang lain. Beliau terpaksa menyorok di bawah rumah mengintai datuknya bercerita tentang silat kepada anak-anak muridnya.Akhirnya, ibunya bersetuju untuk menyampaikan permintaan Meor Abdul Rahman kepada datuknya.



PENDIDIKAN SILAT ALLAHYARHAM DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN BIN UDA MOHD. HASHIM
            Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman mula menuntut ilmu persilatan ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Beliau mempelajari ilmu persilatan tersebut daripada datuknya sendiri (datuk sebelah ibu) iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris al-Attas yang merupakan seorang penghulu di Pekan, Pahang. Beliau juga sangat terkenal ketika itu kerana memiliki ramai pahlawan. Selain itu, Tuan Syed Zainal bin Syed Idris al-Attas juga hidup sezaman dengan Dato’ Bahaman, Mat Kilau, dan Tok Gajah serta mereka bersama-sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di Pahang.
            Sejak kecil, Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari datuknya. Segala ilmu dan petua Silat Seni Gayong diperturunkan satu persatu oleh Syed Zainal Al-Attas kepada beliau. Hari berganti minggu, bulan berganti tahun. Silat Seni Gayong semakin sebati dalam diri Meor Abdul Rahman. Segala sepak terajang orang bersilat ditempuhi dengan hati yang tabah. Meor Abdul Rahman belajar Silat Seni Gayong bersama-sama 40 orang rakannya di Kampung Pokok Assam, Taiping. Keluarga beliau berpindah ke Kampung Pokok Assam ketika usia beliau kira-kira sepuluh tahun. Menurut Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, kekandanya Meor Abdul Aziz tidak ikut sama mempelajari silat kerana beliau lebih gemarkan aktiviti bermotosikal -beliau memiliki tiga buah motosikal.
Setelah tiga tahun berguru dengan Syed Zainal,kesemua rakan-rakannya kecuali beliau seorang telah dikhatamkan oleh Syed Zainal. Meor Abdul Rahman begitu kecewa dengan sikap datuknya yang tidak mengkhatamkan dirinya seperti rakan-rakannya yang lain. Beliau telah menjadi mangsa ejekan rakan-rakannya, sehingga digelar "buah yang tidak masak". Beliau tidak tahu sampai bilakah datuknya akan "menggantungnya secara tidak bertali". Beliau lantas mengadu kepada bondanya. Kerana rasa kasih terhadap anakandanya tersebut, Sharifah Aluyah lalu bersemuka dengan ayahandanya Syed Zainal dan bertanyakan ayahandanya itu mengapa Meor Abdul Rahman tidak dikhatamkan sebagaimana rakan-rakannya yang lain. Sharifah Aluyah sanggup menawarkan seekor kambing untuk disembelih sebagai syarat untuk Meor Abdul Rahman dikhatamkan. Walau bagaimanapun, permintaan Sharifah Aluyah tidak dapat dipenuhi oleh Syed Zainal. Menurut Syed Zainal, beliau tidak boleh mengkhatamkan cucunya tersebut kerana masanya belum tiba lagi. Apabila masanya tiba kelak, Meor Abdul Rahman pasti akan dikhatamkan walaupun bukan oleh beliau,.datuknya. Menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh orang ghaib di suatu tempat yang terletak di sempadan Siam - Tanah Melayu. Syed Zainal menyuruh Sharifah Aluyah menasihatkan Meor Abdul Rahman supaya menunggu sahaja ketibaan masa pengkhataman tersebut.
Penjelasan bondanya tersebut sedikit-sebanyak telah melegakan hati Meor Abdul Rahman, namun masa  yang disebutkan oleh datuknya sering dinanti-nantikannya. Ketika usianya sembilan belas tahun, beliau sudah pun mahir dalam segala aspek ilmu persilatan dan adat istiadat Silat Seni Gayong ini. Sebagai seorang anak muda yang sedang meningkat remaja, Meor Abdul Rahman sering sahaja terlibat dalam peristiwa beradu tenaga dan sentiasa pula dapat menewaskan lawannya tersebut.

SAAT-SAAT PENGKHATAMAN
Pada tahun 1933, Meor Abdul Rahman telah pergi ke Kuala Nerang menziarahi kekandanya Hendon dan kekanda iparnya, Zainal Abidin yang ketika itu menjadi Ketua Polis/OCPD Daerah Kuala Nerang. Meor Abdul Rahman tidak ada teman untuk berbicara atau bergurau senda kecuali kebosanan yang kian menghimpit jiwanya. Pelbagai cara untuk lari dari kebosanan itu sering bermain-main di kotak fikirannya. Namun segalanya gagal untuk menutup kebosanan yang semakin memuncak itu. Banyak masa yang telah terbuang.
Walaupun demikian, sikap Meor Abdul Rahman yang peramah dan petah berbicara menyebabkan beliau mudah mendapat kenalan. Beliau merasakan pekan Rabu yang diadakan sekali seminggu di pekan Kuala Nerang merupakan detik paling menyeronokkan. Di pekan Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman telah berkenalan dengan seorang perempuan tua berpakaian lusuh, yang menjual burung serindit. Apabila mengetahui perempuan tua tersebut berasal dari Menam, yang terletak dekat sempadan Siam, Meor Abdul Rahman mula mencari jalan bagaimana beliau boleh mengikut perempuan tua tersebut balik ke Menam. Secara senyap-senyap, tanpa pengetahuan kekandanya Hendon dan abang iparnya, Zainal Abidin, Meor Abdul Rahman dengan berbekalkan raifal dan sepucuk pistol milik abang iparnya, dan ditemani oleh Mata-mata Bakar bin Osman telah mengikuti perempuan tua yang dikenali dengan nama Tok Mek Jah itu pulang ke Menam. Jarak perjalanan antara Menam dengan pekan Kuala Nerang adalah sangat jauh. Tidak ada sebarang pengangkutan kecuali berjalan kaki selama beberapa hari.
Setelah beberapa lama berjalan beliau tiba di Kuak. Selama dua hari Meor Abdul Rahman berada di Kuak. Beliau telah bertemu dengan Tok Choh di Kuak. Semakin membakar semangatnya untuk meneruskan perjalanan ke Menam. Empat hari empat malam berjalan kaki barulah sampai ke Menam. Untuk selama empat hari di Menam, Meor Abdul Rahman telah menjadi anak angkat kepada keluarga Tok Choh dan menginap di rumah Tok Mek Jah. Dinding rumah penduduk Menam termasuk dinding rumah Tok Mek Jah diperbuat daripada kulit-kulit binatang. Sewaktu di Menam, Meor Abdul Rahman bersama-sama dengan Bakar sering menghabiskan masa mereka dengan keluar memikat burung serindit kerana harganya ketika itu sangat mahal (seekor burung serindit boleh mencapai harga di antara $3-$5 seekor).
Setelah empat hari di Menam, Meor Abdul Rahman meminta diri untuk pulang ke Kuala Nerang untuk menemui abang iparnya Zainal Abidin. Kemudian beliau kembali ke Taiping menemui keluarganya. Beliau menceritakan pengalamannya itu kepada kekandanya Meor Abdul Aziz. Meor Abdul Aziz juga tertarik untuk ke sana. Meor Abdul Rahman sekali lagi pergi ke Menam bersama kekandanya Meor Abdul Aziz. Di sana, mereka menghabiskan banyak masa dengan memburu binatang.
Suatu hari, ketika keluar berburu bersama-sama beberapa orang rakannya, telah ditakdirkan Meor Abdul Rahman terpisah dari rakan-rakannya akibat hujan ribut yang melanda. Beliau telah tersesat. Setelah beberapa lama merayau-rayau dalam hutan tersebut tanpa arah yang dituju akhirnya beliau terlelap di atas suatu batu hampar berwarna hitam selebar kira-kira satu rantai.
Dalam keadaan antara tidur dan jaga, tiba-tiba muncul bayang-bayang lembaga seorang manusia yang berpakaian persis seorang hulubalang Melayu zaman dahulu, dengan dipinggangnya tersisip sebilah keris. Dalam keadaan diri antara sedar dan tidak, Meor Abdul Rahman pun diajar dengan berbagai ilmu kependekaran zahir dan batin. Hang Tuah telah mencurahkan segala rahsia ilmu Silat Seni Gayong dan ilmu mempertahankan diri kepada beliau. Selepas beliau melalui pelbagai ujian dan cubaan, beliau telah dibawa ke sebatang anak sungai yang berdekatan dan dimandikan dengan tujuan pengkhatamkannya. Di sanalah Meor Abdul Rahman diamanahkan supaya ilmu yang telah dipelajarinya (Seni Gayong), diperkembangkan dengan seluas-luasnya di dalam negera ini dengan mengikut adat-istiadatnya yang tertentu. Pada saat-saat itu juga, lembaga itu memperkenalkan dirinya dengan mengatakan bahawa beliau ialah Datuk Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah akhirnya meminta Meor Abdul Rahman mengangakan mulut lalu, diludahkannya ke dalam mulut Meor Abdul Rahman, sebagai tanda sempurnalah sudah pengkhataman beliau.
Tanpa membocorkan rahsia pertemuannya dengan Hang Tuah di batu hitam itu, akhirnya Meor Abdul Rahman bergegas pulang ke Taiping. Sebelum itu beliau singgah sebentar di rumah kekandanya di Kuala Nerang. Beliau tetap merahsiakan apa yang telah dialaminya daripada pengetahuan kedua-dua ibu bapanya. Sebagai mematuhi amanat di dalam mimpinya, beliau telah meminta izin daripada bondanya Sharifah Aluyah untuk menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika itu iaitu Almarhum Sultan Alang Iskandar. Sharifah Aluyah menurut ceritanya pernah dipinang oleh Sultan Alang Iskandar suatu ketika dahulu.

PANGLIMA SENDO PERAK @ RAHMAN SENDO
Untuk menghadap sultan bukannya tugas yang mudah. Beberapa kali Meor Abdul Rahman dihalang oleh Datuk Seri Nara Diraja. Setelah puas didesak akhirnya Datuk Seri Nara Diraja membenarkan Meor Abdul Rahman bertemu dengan Sultan. Di hadapan Sultan, beliau telah menunjukkan kegagahan beliau dengan mengangkat seorang yang berbadan besar(Puteh Lawak) dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Puteh Lawak telah dijulang dan diputar-putarkan sebelum dicampak.
Selepas peristiwa itu, baginda Sultan telah memerintahkan Meor Abdul Rahman agar menghadap baginda sekali lagi iaitu bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sana Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan paku sepanjang enam inci, membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali dengan 50 orang lelaki(25 di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling perak dengan menggunakan jari, badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik Sultan dan beliau juga berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah. Semua ujian tersebut dijalankan pada waktu malam. Sultan Alang Iskandar masih lagi belum berpuas hati. Pada keesokan harinya baginda telah memerintahkan Meor Abdul Rahman mengangkat selaras meriam penabur yang terbesar di istana. Atas kejayaannya itu, baginda Sultan telah menggelarnya "Panglima Sendo Perak" atau "Orang Kuat Perak". Dengan kehendak almarhum Sultan, Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman telah diambil sebagai anak angkat oleh baginda sehinggalah baginda mangkat pada tahun 1938.
BERHIJRAH KE SINGAPURA DAN PERISTIWA DI PULAU SUDONG
Pada tahun 1938, Meor Abdul Rahman telah berhijrah ke Singapura dan bekerja di Royal Signal Corp, Gillman Barrack sebagai mekanik. Di sini beliau turut mengajar seni tempur tangan kosong kepada tentera British.
Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1941, Meor Abdul Rahman bersama-sama dengan keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, sebuah pulau di selatan Singapura. Meor Abdul Rahman terpaksa pula berlawan dengan pendekar Pulau Sudong bagi memenuhi tuntutan syarat jika ingin menumpang di pulau tersebut. Sebelum pertarungan bermula, beliau terlebih dahulu meminta pandangan ahli keluarga beliau. Nampaknya beliau sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa menghadapi Wak Kusang. Pertarungan antara Wak Kusang dengan Meor Abdul Rahman berlangsung di kawasan tanah perkuburan, kerana penduduk pulau membina rumah bertiang tinggi di tepi pantai, manakala bahagian tengah pulau dikhaskan sebagai tanah perkuburan. Pertarungan tersebut berlangsung dalam suasana yang sangat tegang dan hebat. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayongnya, maka pertarungan itu berakhir dengan kemenangan yang menyebelahi Meor Abdul Rahman. Kemenangan Meor Abdul Rahman telah disambut dengan perasaan gembira oleh ahli keluarga beliau. Penduduk pulau pula telah bersorak gembira seolah-olah menyaksikan suatu perlawanan sabung haiwan. Setelah melalui pelbagai dugaan, barulah beliau dan keluarganya dibenarkan menumpang di pulau tersebut.Di Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong mula dikembangkan, iaitu pada 17 Februari,1942. Di Pulau Sudong ini beliau telah menunjukkan kebolehannya memperdaya tentera Jepun dan seterusnya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada kekejaman tentera Jepun. Silat Seni Gayong kemudiannya diajar kepada semua penduduk Pulau Sudong.Tidak lama kemudian, beliau bersama-sama keluarganya telah pulang ke Taiping, Perak.
Pada tahun 1943, beliau telah ditangkap oleh tentera Jepun kerana menentang tentera Jepun yang cuba mengganggu isterinya. Beliau telah dipenjarakan di penjara Taiping dan setelah dibicarakan, beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau telah menunjukkan kependekarannya dengan menumpaskan tentera-tentera Jepun yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa ini, beliau telah dibebaskan. Tidak lama kemudian beliau telah dipaksa menyertai pasukan tentera Jepun. Seperti askar Jepun yang lain, kepala beliau telah dibotakkan dan diberikan seragam polis Jepun. Semasa bertugas sebagai polis Jepun, beliau pernah ditugaskan di Ipoh, Perak dan Meor Abdul Rahman pernah beberapa kali menewaskan beberapa orang ketua PKM yang terkenal handal dan kebal.
Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, beliau sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong dan telah ditawarkan menjawat jawatan penghulu di situ. Setelah beliau menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah tersebar ke pulau-pulau sekitar termasuklah pulau-pulau di dalam wilayah Indonesia.

PENGEMBANGAN SENI SILAT GAYONG
Dalam tahun 1947, kerajaan British telah menawarkan Meor Abdul Rahman jawatan sebagai pegawai dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Ketua Polis Singapura telah mendapat tahu rahsia kehebatan Mahaguru Meor Abdul Rahman sewaktu beliau berkhidmat sebagai Guru Kombat di Gillman Barrack. Setelah empat bulan, beliau memohon dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah(CID). Permohonan beliau diluluskan dan beliau telah ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan dan ditugaskan menyiasat sebarang penipuan dalam timbangan. Tidak lama kemudian beliau ditugaskan pula di bahagian kepolisan yakni di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat Sarjan.
Pada tahun 1947 juga, atas jasa-jasa beliau menentang keganasan tentera Jepun, beliau telah dikurniakan pingat keberanian King George VI oleh kerajaan Inggeris. Di sekitar tahun ini juga beliau giat mengembangkan ilmu Silat Seni Gayong di tanah besar Singapura. Menjelang tahun 1948, jumlah anak murid Gayong sudah mencapai 100,000 orang, dengan 50,000 daripadanya adalah dari kepulauan Indonesia.
Pada tahun 1959, Allahyarham Dato'Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato' Onn Jaafar, pengasas UMNO dan penentang Malayan Union. Dato' Onn telah mengusulkan Silat Seni Gayong didaftarkan supaya menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Akhirnya, dengan jasa-jasa Dato' Onn, Silat Seni Gayong telah diluluskan pendaftarannya pada 22 Oktober 1963 dengan nombor pendaftaran 361(Johor Bahru). Ia adalah pertubuhan silat yang pertama didaftarkan di Malaysia. Dato' Onn telah dilantik sebagai penasihat dan setiausaha agung yang pertama. Pendita Za'ba pula telah diminta melukis lambang Gayong dan mereka bentuk sijil Gayong.Kegigihan dan pengorbanan Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dalam usaha mengembangkan Silat Seni Gayong telah dirakamkan dengan pengurniaan pingat Dato' Paduka Cura Simanja Kini (DPCM) oleh Sultan Idris Shah, Sultan Perak pada tahun 1971.


MENYAHUT CABARAN BRUCE LEE
Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.

Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, tetapi jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia. Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.
Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut. Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee. Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut. Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)
Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah pada pagi 23 Jun 1991, bertempat di Pusat Perubatan Pakar, Ipoh kerana sakit tua. Jenazah beliau telah dikebumikan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Lama, Taiping.


KESIMPULAN
Silat telah dicipta dan diamalkan oleh orang Melayu sejak sebelum kehadiran pengaruh luar di Tanah Melayu. Seni silat gayong juga merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang hebat yang telah diasaskan oleh pendekar yang agung dan terkemuka iaitu Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim. Beliau telah memperkenalkan ilmu persilatan ini ke serata dunia yang pada mulanya hanya dikenali di beberapa tempat sahaja. Pengaruhnya begitu besar hingga dapat menarik minat orang ramai untuk mempelajari silat ini.
Silat bukan sahaja dapat melindungi diri malah ia dapat membentuk nilai kemanusiaan yang tinggi dalam diri insan yang mempelajari silat apabila silat mengajar setiap pengamalnya untuk mempertahankan diri tanpa mencederakan lawan, kecuali terdesak. Selain itu, silat juga dapat melahirkan insan yang cergas dan cerdas serta insan yang berdisiplin tinggi. Kesemua nilai-nilai ini dapat dilihat dari dalam diri tokoh pengasas silat gayong yang terkemuka ini. Beliau telah bertungkus-lumus meningkatkan martabat silat ke pelusuk dunia. Usaha yang telah dicurahkan beliau amat bermakna sehingga kini apabila silat berjaya merentas persempadanan budaya, kepercayaan, bahasa dan masyarakat di beberapa buah negara dunia sehingga terlahirnya golongan yang sangat berminat mempelajari silat, mengamalkannya serta mengembangkannya.
Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana seni silat ini berjaya dikekalkan sejak turun-temurun sehingga sekarang.



RUJUKAN

1.      LAMAN WEB

           2.      BUKU
  •           SILAT SENI GAYUNG PATANI 2008
  •           Anuar Abd. Wahab AMN
P               


           Pusat Cemerlang Silat